![]() |
| Gambar hiasan semata |
Selaku seorang manusia, saya juga pernah terjebak dengan golongan agamawan yang 'anti-cinta' sebelum ni. Benda yang sama dicanangkan setiap kali berbicara mengenai cinta sebelum kahwin - cinta sebelum kahwin itu haram. Ya, saya juga pernah terpengaruh dengan golongan seperti ini. Mungkin mereka berniat baik untuk menjaga agama, tetapi ada kalanya mereka menjadi 'terlampau membela agama' sehingga menimbulkan fitnah terhadap agama seolah-olah Islam mengharamkan cinta!
Kemudian perlahan-lahan pola pemikiran saya berubah seiring dengan peningkatan usia. Saya belajar untuk menerima perbezaa pendapat dalam soal ini. Lama-kelamaan saya dapati pendapat agamawan yang mengharamkan cinta bukanlah satu authorti yang kuat. Sesungguhnya matlamat tidaklah mengharamkan cara. Untuk mengelak zina, mengharamkan cinta bukanlah jawapan yang tepat. Mungkin mereka terkeliru dek takut kepada maksiat lantas cinta dikambing hitamkan.
Definisi Cinta
Apa yang saya lihat, apa yang saya perhatikan, definisi cinta yang diberi oleh agamawan anti-cinta ialah definisi dari kaca mata barat. Mereka seolah-olah mengatakan cinta itu beerti berpegang tangan, bercium atau apa-apa sahaja yang berkaitan seks. Sebenarnya itu adalah definisi cinta dari pandangan sesetengah orang barat (saya katakan sesetengah kerana ada mazhab dalam ajaran Kristian tidak membenarkan seks sebelum kahwin). Oleh sebab cinta yang ditonjolkan menerusi filem-filem barat bersifat negatif dan diambil pula bulat-bulat oleh sesetengah agamawan tanpa tapisan, maka definisi cinta menjadi negatif.
Pada saya, ianya adalah lebih kepada permasalahan semantik iaitu perbezaan dari segi tafsiran. Cinta itu tak semestinya couple. Itu yang saya pegang. Syurga itu matlamat utama dan sebarang jalan untuk membawa ke syurga itulah definisi cinta bagi saya. Tidak ada manusia normal yang memaknakan cinta dengan melakukan zina dengan rela atau sesuatu yang membawa ke neraka. Kalau ada jenis manusia sebegini, manusia itu bermasalah.
Kerana ramai muda-mudi terbabit dengan maksiat dan kebanjiran kes anak luar nikah, apakah boleh ia dijadikan asbab untuk mengharamkan cinta? Tidak semudah itu. Apa yang perlu dibuat ialah mencari solusi untuk setiap kes, bukannya menolak fitrah. Kenapa zina berleluasa? Kenapa anak luar nikah ramai? Pokok pangkalnya bukan kerana cinta tetapi kerana kurangnya penguatkuasaan undang-undang. Maka ubahlah undang-undang, bukannya berceramah sana sini mengatakan cinta itu haram.
Sekali lagi cinta itu disinonimkan dengan couple lantas diharamkan dek pengertian couple itu adalah berpegang tangan, bercium dan sebagainya. Maka bagi sesetengah agamawan, equation adalah seperti berikut:
Cinta = Couple
Sekali lagi diingatkan bahawa cinta tidak semestinya bercouple. Ada yang mencintai tetapi tidak bercinta. Ada yang bercinta tetapi tidak couple (mungkin tunang). Belajar-belajarlah untuk menapis definisi cinta dan berilah penghujahan yang terbaik untuk anak-anak muda. Bukannya penghujahan yang dihimpit kejumudan dan konservatif.
Demikianlah pandangan saya. Salah silap mohon ditegur. Mari renungkan sejenak firman Allah swt ni:
"dan tidak ada salahnya bagi kamu tentang apa yang kamu bayangkan (secara sindiran) untuk meminang perempuan (yang dalam edah kematian suami), atau tentang kamu menyimpan dalam diri (keinginan berkahwin dengan mereka). Allah mengetahui bahawa kamu akan mengingati mereka, (yang demikian itu tidaklah salah), akan tetapi janganlah kamu membuat janji dengan mereka dalam sulit, selain dari menyebutkan kata-kata (secara sindiran) yang sopan. dan janganlah kamu menetapkan dengan bersungguh-sungguh (hendak melakukan) akad nikah sebelum habis edah yang ditetapkan itu. dan ketahuilah sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ada dalam dada kamu, maka beringat-ingatlah, sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar”. (Surah al-Baqarah: 235)
Wassalam. Bye

No comments:
Post a Comment